Rakyat boleh ‘hidu’ salah guna kuasa PN – Isham

Rakyat boleh ‘hidu’ salah guna kuasa PN – Isham

RAKYAT sudah lama nampak dan boleh ‘hidu’ salah guna kuasa pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) sejak parti itu berkuasa, terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat lagi, kata Ketua Penerangan Umno Isham Jalil.

Menurutnya, salah guna kuasa itu boleh dilihat apabila kontrak berbillion ringgit diberikan secara rundingan terus, dan PN turut berbelanja besar ketika pilihan raya.

Beliau berkata susulan itu, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak boleh menyalahkan orang lain jika ada pemimpin PN yang ditahan dengan mendakwa kononnya Umno yang menjadi dalang di belakang penahanan itu.

“Anak kecil pun boleh melihat ada sesuatu yang tidak kena dan boleh mengagak yang jika siasatan dilakukan akan ada yang jadi kluster mahkamah. Dan saya kata puak-puak kamu (PN) akan jadi Kluster Mahkamah 2.0 sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lagi.

“Nasihat saya, carilah hujah yang lebih baik, Azmin. Kenyataan kamu semalam seolah kebudak-budakan. Kamu kata kamu sudah lama dalam politik.

“Takkan ini yang terbaik kamu boleh berhujah untuk bela Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusia PN)?” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohamed Azmin, semalam yang mempertahankan dakwaan dibuat pemimpin-pemimpin Bersatu dan PN berkaitan pendakwaan terhadap bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan di mahkamah.

Mohamed Azmin mempertahankan dakwaan bahawa Umno yang menjadi dalang di belakang penahanan pemimpin-pemimpin Bersatu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, ia susulan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Isham telah membuat kenyataan yang pemimpin Bersatu akan jadi kluster mahkamah lebih awal.

Bekas Ahli Parlimen Gombak itu juga menegaskan, dakwaan mengatakan pemimpin Umno sebagai dalang adalah daripada laporan polis yang dibuat oleh Armada Bersatu.

Mohamed Azmin juga mempersoalkan kenapa hanya pemimpin Bersatu sahaja ditahan dan pemimpin Umno tidak ditahan kerana projek Jana Wibawa itu katanya diteruskan ketika pemimpin Umno menjadi Perdana Menteri selepas Muhyiddin.

Isham berkata, laporan polis itu dibuat oleh sayap parti berkenaan sendiri yang hanya menyalahkan orang lain ke atas kes rasuah sendiri.

“Jika kamu salahkan orang itu, samalah seperti kamu salahkan polis atau SPRM kerana tangkap kamu dan menjadi “dalang” pendakwaan kamu oleh pendakwaraya di mahkamah. Ini dangkal.

“Pemimpin Bersatu yang didakwa sebab duit “kickback” dan rasuah dari projek Jana Wibawa pula masuk ke dalam akaun Bersatu dan pemimpinnya, bukan ke dalam akaun Umno atau pemimpin Umno.

“Takkanlah jika kamu atau rakan kamu yang makan rasuah, Umno juga yang salah?,” katanya. – Malaysiapost

Komen