RoS patut tangguh pemilihan, elak Umno digantung jika langgar perlembagaan – Ismail Sabri

RoS patut tangguh pemilihan, elak Umno digantung jika langgar perlembagaan – Ismail Sabri

JABATAN Pendaftar Pertubuhan (RoS) sepatutnya menangguhkan dulu pemilihan Umno sehingga keputusan aduan diperoleh berkenaan usul tambahan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia perlu supaya tidak timbul masalah lebih buruk kepada Umno jika keputusan RoS mendapati ia tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan, sedangkan ketika itu pemilihan sudah selesai.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, RoS masih menjalankan siasatan bantahan dan sebarang keputusan mengenainya jika tidak memihak kepada parti, mungkin boleh menyebabkan Umno digantung.

“Jika keputusan siasatan itu mendapati ia bertentangan dengan perlembagaan Umno dan tidak sah, sedangkan pemilihan sudah selesai, apa akan jadi kepada Umno.

“Saya bimbang jika keputusan RoS (umum hasil siasatan) sudah terlambat, ia akan menjejaskan Umno. Memang RoS boleh ambil tindakan tegas jika parti melanggar perlembagaan, mungkin Umno boleh digantung.

“Sebab itu, RoS perlu buat keputusan segera berhubung siasatan itu atau minta tangguhkan dulu pemilihan sehingga keputusan aduan daripada dua ahli Umno itu dicapai,” katanya lapor BH.

Ismail Sabri sebelum ini dilapor berkata, jika RoS membuat keputusan bahawa Perhimpunan Agung Umno (PAU) sebagai tidak sah, mungkin ramai calon akan bertanding bagi merebut dua jawatan tertinggi parti itu.

Susulan itu, katanya, RoS perlu membuat keputusan dengan cepat mengenai perkara itu dan jika ia tidak sah, RoS mempunyai kuasa untuk menangguhkan pemilihan, sekali gus Umno perlu membuka semula pencalonan untuk semua jawatan.

Ismail Sabri berkata, sebarang keputusan dikeluarkan RoS berkait isu ini akan menjadi rujukan kes pada masa depan.

Katanya, gesaan kepada RoS itu bukan bermakna beliau mahu pemilihan ditangguhkan, sebaliknya perkara utama berhubung kesahihan ketetapan PAU itu perlu diputuskan dulu sebelum pertandingan atau pemilihan dibuat.

“Kita mahu isu pemilihan jawatan parti ini dibuat secara telus dan kini ia bergantung kepada keputusan RoS sama ada apa yang dilakukan sekarang sah atau tidak.

“Kita tidak mahu wujud masalah lain selepas ini jika apa yang dilakukan melanggar perlembagaan. Ini bukan bermakna saya mahu bertanding jawatan tertinggi parti, tetapi apa juga tindakan perlu berlandaskan prinsip perlembagaan yang sudah ditetapkan,” katanya. – Malaysiapost

Komen