Siapa main politik? – Mohd Puad

Siapa main politik? – Mohd Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan mengapa sehingga kini tiada perkembangan terbaharu mengenai siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Ghazali.

Menurutnya, tiada sebarang tindakan daripada pihak Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara dalam isu berkenaan, walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman memaklumkan kertas siasatan sudah diserahkan kepada mereka.

“Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara masih diam diri dalam isu Hakim Nazlan. Azalina maklumkan di parlimen hasil siasatan sudah diserah pada mereka berdua.

“Tidak ada siapa yang mahu campur tangan politik dalam sistem keadilan. Masalahnya ada yang main politik tetapi bukan dalam gelanggang politik. Itu yang payahnya.

“Faham-faham sahajalah apa maksudnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, berkata keadaan itu akhirnya mengakibatkan ahli politik seperti Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menjadi mangsa.

Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit, sebelum ini turut menggesa agar laporan siasatan terhadap Hakim Mohd Nazlan didedahkan kepada orang awam.

Menurutnya, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Peguam Negara perlu mengambil tindakan segera dalam siasatan tersebut demi keadilan. – Malaysiapost

Komen