Tiada jambatan runtuh dihanyutkan arus di Johor
POLIS Kontinjen Johor menafikan berlaku kejadian jambatan runtuh dan dihanyutkan arus deras susulan kejadian banjir di negeri berkenaan seperti video yang tukar di aplikasi TikTok hari ini.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya mengesan satu video tular di akaun TikTok ‘naturelikeit’ berdurasi 20 saat berkait kejadian jambatan runtuh dan dihanyutkan arus.
“Polis Kontinjen Johor mengesahkan kejadian itu tidak berlaku di negeri Johor dan dipercayai telah berlaku di luar negara.
“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita atau mesej palsu yang boleh mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang menyebarkan berita atau mesej palsu boleh diambil tindakan mengikut undang-undang yang berkuatkuasa. – Malaysiapost