Tiga negeri kini dilanda banjir

Tiga negeri kini dilanda banjir

TIGA negeri kini dilaporkan dilanda banjir dengan jumlah keseluruhan mangsa dipindahkan setakat ini seramai 6,645 orang daripada 1,972 keluarga yang dipindahkan di 73 pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor, Sabah dan Sarawak.

Berdasarkan portal InfoBencanaJKM, Johor mencatatkan mangsa tertinggi dengan 5,877 penduduk daripada 1732 keluarga yang kini ditempatkan di 65 PPS di Segamat, Kota Tinggi, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.

Sabah pula mencatatkan seramai 485 mangsa daripada 173 keluarga yang ditempatkan di dua PPS membabitkan kawasan Tongod dan Kota Marudu.

Sementara itu, di Sarawak enam PPS dibuka di kawasan Kuching dan Serian yang menempatkan seramai 283 mangsa daripada 67 keluarga.

Pada Januari lalu, ketiga-tiga negeri berkenaan turut dilanda banjir dan Johor ketika itu juga melaporkan mangsa tertinggi terutama membabitkan daerah Segamat.

Banjir kali ini berlaku susulan hujan lebat berterusan lebih 24 jam di kawasan yang terjejas. – Malaysiapost

Komen