Trend merisaukan, ibadat umrah sekadar untuk ‘content’
PENDAKWAH terkenal Dr Kamilin Jamilin melahirkan kebimbangan mengenai trend yang melanda umat Islam yang menunaikan umrah ketika ini.
Menurutnya, menunaikan umrah kini bukan lagi menjadi satu ibadat yang dinanti-nantikan seperti zaman dahulu, malah ramai yang pergi ke tanah suci untuk memenuhi membuat ‘content’ di media sosial masing-masing sekali gus membuatkan hilang fokus kepada ibadat umrah.
“Saya sebenarnya risau tengok trend orang sekarang pergi umrah. bukan semua tapi boleh nampak ramailah kat media sosial ini dulu-dulu sebelum muncul media sosial yang pelbagai ini dan influencer yang terkenal.
“Orang kalau dapat pergi Mekah dan Madinah ini satu benda yang besar tau. Pergi Mekah dan Madinah ni memang jadi satu medan keinsafan kalau kita betul-betul terasa dengan keagungan Allah dan kemuliaan tanah suci.
“Ramai bila pergi ke sana, jadi bertaubat dan berubah ke arah yang lebih baik tapi la ni pi sana dah macam tak ada apa dah. Orang kita yang pergi sana balik macam itu juga.
“Sebahagian artis-artis, selebriti, bukan semua pergi sana lebih sekadar nak jadi konten, selfie sana sini, berlakon cium kaabah, berlakon solat bagai,” katanya dalam klip video di aplikasi TikTok.
Dr Kamilin turut terkilan berikutan terdapat individu yang sanggup pergi ke tanah suci untuk mempromosikan produk mereka dengan berlatar belakangkan kaabah.
“Ada pula yang pergi sana nak promosi produk, banyaklah yang ini kita boleh nampak. Macam produk barakah, tangkap lah gambar berlatar belakangkan kaabah.
“Pergi Mekah Madinah ni dah macam sekadar pergi melancong sahaja, bukan nak beribadah sangat pun. Ada duit pergi seronok-seronok, tunjuk sana sini cari populariti, cari duniawi, hilang rasa keagungan Allah dalam hati,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Kamilin mengakui bahawa niat manusia tidak boleh disimpulkan mengenai kehidupan seseorang kerana bergantung kepada niat masing-masing.
“Apa yang lebih penting, setiap manusia perlu membetulkan niat masing-masing supaya kita mendapat ibadah yang mabrur,” katanya. – Malaysiapost