Usah jadikan royalti petroleum isu perkauman – Mohamad Agus
SEGELINTIR Ahli Parlimen mendakwa negeri majoriti Melayu diketepikan dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari lalu, manakala Pulau Pinang yang majoritinya Cina diutamakan.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, dakwaan itu kini tular dalam media sosial mengatakan Melayu sedang ‘disembelih’ di tanah airnya sendiri.
Menurutnya, mereka mendakwa bahawa pemimpin Melayu dalam Kerajaan Perpaduan berdendam dan berbuat zalim terhadap bangsa sendiri dan antara bukti yang ditampilkan adalah berkaitan penafian royalti petroleum untuk Terengganu dan Kelantan.
“Dakwaan sebegini amat tidak bertanggungjawab kerana tidak disertai dengan fakta yang benar dan dibuat semata-mata untuk meniupkan sentimen perkauman dan kebencian kepada kerajaan perpaduan.
“Penafian royalti petroleum lima peratus untuk Terengganu dan Kelantan bukanlah perkara baharu. Pertikaian berkaitan hal ini telah berlarutan lama sehingga kerajaan negeri membawa kes ini ke mahkamah pada 2010.
“Bagaimanapun pada 2019 semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kerajaan negeri menarik balik saman tersebut setelah kerajaan pusat membayar Kelantan RM400 juta,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, selain itu pada 25 November 2021, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, turut menegaskan di Dewan Rakyat bahawa Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung kerana kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri masing-masing.
“Zafrul membuat kenyataan ini berdasarkan kepada peruntukan Akta Laut Wilayah 2012 yang menetapkan negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika dari pesisir pantai sahaja.
“Sebelum itu, semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN), Menteri Undang-Undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak pula membawa Akta Wilayah Laut 2012 ke Parlimen untuk dimansuhkan dan tidak juga membayar royalti kepada Kelantan dan Terengganu, hanya sekadar wang ehsan sahaja,” katanya.
Beliau berkata, menariknya, kerajaan negeri berkaitan ketika itu tidak bising dan tidak juga menimbulkan soal mendiskriminasikan orang Melayu, kerana pada waktu ini mereka berada dalam kerajaan Keluarga Malaysia.
“Ironis, apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan sekali lagi hal ini di Dewan Rakyat pada 24 Februari lalu bahawa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima royalti tunai, pihak oposisi menuduh Kerajaan Perpaduan menganiaya orang Melayu.
“Sedangkan keputusan tersebut adalah sama seperti era pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Mohammad Agus berpendapat adalah tidak wajar pihak pembangkang mendakwa Kerajaan Perpaduan menafikan hak orang Melayu hanya kerana menolak membayar royalti petroleum kepada Kelantan dan Terengganu.
Beliau berkata, ia kerana kerajaan tidak mencabul keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang dan selagi mengikut lunas undang-undang, maka kerajaan menganiaya orang Melayu Kelantan dan Terengganu.
“Nasihat saya kepada pihak oposisi janganlah terus meniupkan sentimen perkauman untuk menentang sesuatu keputusan kerajaan yang mereka tidak bersetuju kerana ini boleh mengancam keharmonian hubungan kaum sesama kita.
“Dalam kes royalti petroleum, gunalah saluran undang-undang dan lain-lain tindakan diplomasi supaya kita dapat sama-sama mengangkat Malaysia Madani, bagi mewujudkan Malaysia yang stabil, makmur dan bahagia,” katanya.
Mohammad Agus berkata, untuk negara maju ke depan sentimen perkauman yang meresahkan rakyat perlu dihentikan, sebaliknya membincangkan isu lebih substantif melibatkan seluruh rakyat dalam Belanjawan 2023,
“Bukan hanya tertumpu kepada sesuatu kaum sahaja. Marilah kita bersama kerajaan perpaduan untuk mengangkat kembali negara kita menjadi sebuah negara bangsa yang megah di pentas dunia,” katanya. – Malaysiapost