Visi Dr Masliha jelas dalam usaha menang Ketua Puteri Umno
CALON Ketua Puteri Umno Malaysia, Dr Masliha Harun kini sedang giat berkempen dan yakin mendapat sokongan ahli seluruh Malaysia untuk menerajui kepimpinan sayap berkenaan bagi penggal 2023-2026.
Menurutnya, selepas menjelajah dan bertemu dengan sebahagian besar kepimpinan Puteri diseluruh Bahagian dan Negeri, respons yang diterima sangat positif terutama daripada golongan muda, ahli baru dan mahasiswa serta para perwakilan.
Beliau berkata, pelan REVU yang bermaksud peremajaan (rejuvenation), pemerkasaan (empowerment), suara (voice) dan perpaduan (unity), ditawarkannya akan menarik lebih ramai anak muda dan dalam mendepani arus politik yang sangat dinamik dan mencabar ketika ini
Dr Masliha berkata, Puteri perlu terus bergerak ke hadapan dengan apa cara sekalipun demi untuk parti, agama dan bangsa.

“Pertamanya, saya juga bersyukur kerana mendapat sokongan Ketua Puteri Umno Malaysia, Datuk Zahida Zarikh Khan dan juga Ketua Puteri Negeri,Norbhaiti Sabar turut membantu dalam siri jelajah saya.
“Keduanya, Alhamdulillah di bahagian Lembah Pantai pun tiada pertandingan di mana Noryana Najib Razak telah menang sebagai Ketua Puteri Umno Lembah Pantai yang baru.
“Jadi, mudah buat saya untuk terus bergerak bertemu dengan rakan-rakan seperjuangan di negeri lain bagi mendapatkan sokongan dan menyatakan hasrat untuk bertanding,” katanya.
Dr Masliha adalah Exco Pergerakan Puteri Umno Malaysia dan juga Ketua Puteri Umno Lembah Pantai bagi penggal 2018-2023 dan merupakan seorang pengamal perubatan yang mempunyai tiga klinik di sekitar Lembah Klang dan Selangor.
Jawatan Ketua Puteri Umno menyaksikan pertandingan enam penjuru termasuk Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Khaidirah Abu Zahar; Naib Ketua Puteri Umno, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; dan Setiausaha Pergerakan Puteri Umno, Nurul Hazwani Haslan.
Pemilihan Umno 2023 yang bermula 1 Februari lalu hingga 18 Mac ini menyaksikan seramai 383 calon bertanding dengan 115 daripadanya merebut jawatan-jawatan tertinggi parti itu. – Malaysiapost