1MDB: Keputusan Najib, Arul Kanda bebas atau bela diri esok

1MDB: Keputusan Najib, Arul Kanda bebas atau bela diri esok

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan sama ada Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dibebaskan atau dipanggil membela diri atas pertuduhan meminda laporan audit syarikat strategik negara itu esok.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya akan membacakan keputusan berkenaan pada jam 9 pagi, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram namun bekas Hakim Mahkamah Persekutuan berusia 79 tahun ini meninggal dunia pada 29 Januari lalu.

Ia akan diteruskan oleh pasukan pendakwaan sedia ada antaranya Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Pihak pembelaan pula oleh peguam, Tan Sri Shafee Abdullah bagi pihak Najib, sementara Datuk N Sivananthan untuk Arul Kanda.

Pendakwaan menutup kesnya pada 7 September tahun lalu selepas memanggil 16 saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan berlangsung selama 43 hari bermula hari pertama pembukaan perbicaraan kes pada 18 November 2019.

Pada 24 Jun tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi bagi memberikan keterangan terhadap Najib mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pendakwaan kemudian menawarkan 18 saksi kepada pembelaan, antaranya bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi. – Malaysiapost

Komen