2 warga emas lemas terperangkap banjir
DUA warga emas yang tinggal sendirian, ditemukan lemas selepas rumah mereka ditenggelami banjir dalam kejadian di Jalan Kongsai, Kampung Baru Chaah, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi tadi, mangsa Lee Amo Yee, 78, dan Tan Sue Ke, 74, ditemukan terperangkap di kediaman masing-masing oleh waris mereka.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pasukan penyelamat bertindak melakukan pemeriksaan di kawasan rumah berkenaan sejurus selepas menerima maklumat daripada anak masing-masing.
“Pemeriksaan kemudian dibuat di kediaman kedua-duanya warga emas terbabit sebelum menemui mayat mangsa,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila air naik mendadak setinggi dua meter dan mencecah paras bumbung di kediaman mangsa yang terletak berhampiran Balai Polis Chaah.
Katanya, kedua-dua mangsa yang tinggal berseorangan merupakan jiran dan jarak rumah mereka hanya kira-kira 400 meter.
“Kawasan rumah ini berada di kawasan pekan Chaah, Segamat iaitu di belakang Balai Polis Chaah dan dipercayai kedua-dua mangsa gagal keluar menyelamatkan diri apabila air naik dengan pantas,” katanya.
Ahmad Zamry berkata, mayat dua warga emas itu kemudian dihantar ke Hospital Segamat untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Malaysiapost