7 calon wanita rebut jawatan MKT Umno
TUJUH calon wanita sah merebut jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada pemilihan parti bagi sesi 2023/2026 yang akan berlangsung pada 18 Mac ini.
Mereka adalah antara 95 calon yang diterima bertanding jawatan Ahli MKT Umno bagi memilih seramai 25 Ahli MKT.
Calon berkenaan ialah bekas Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan; Ketua Umno Bahagian Beluran, Julie Sabran; bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid; Ketua Umno Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Ketua Wanita Umno Selangor, Datuk Rosni Sohar.
Ahli MKT Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Datuk Suraya Yaacob pula akan mempertahankan jawatan mereka pada pemilihan kali ini.
Dua Ahli MKT Umno wanita yang mengumumkan tidak bertanding ialah Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Khaidirah Abu Zahar.
Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mengesahkan merebut jawatan Naib Presiden pada pemilihan bulan ini.
Beliau menjadi satu-satunya calon tunggal wanita yang bersaing untuk jawatan nombor tiga parti itu.
Manakala Khaidirah atau Dira pula tidak akan mempertahankan jawatan Ahli MKT Umno untuk bertanding jawatan Ketua Puteri Umno bersama lima calon lain.
Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Umno pula, seramai 10 orang merebut jawatan berkenaan dengan dua daripadanya ialah calon wanita.
Mereka ialah Ketua Wanita Umno Bahagian Kluang, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dan Rohani Mohd Sharif. – Malaysiapost
Kredit Foto FB Umno Online