Banjir: Nadma segera baikpulih jalan terputus di Felda Selancar – Zahid

Banjir: Nadma segera baikpulih jalan terputus di Felda Selancar – Zahid

AGENSI Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan mengambil tindakan segera memulihkan jalan di gugusan Felda Selancar, Rompin yang terputus hubungan akibat laluan utama ke kawasan itu runtuh, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata berlaku hakisan yang sangat berat mengakibatkan jalan utama ke Segamat terputus sepenuhnya, susulan banjir yang melanda di kawasan itu.

Katanya, beliau telah menghubungi Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain untuk memobalisasikan Kor Jurutera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk pembinaan jambatan bailey.

“Pembinaan jambatan bailey yang akan dibekalkan oleh Nadma, dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Kor Jurutera ATM.

“Saya telah hubungi Panglima Tentera Darat untuk memobalisasikan Kor Jurutera. Pemasangan jambatan bailey akan mengambil masa antara 48 jam hingga 72 jam.

“Ini dapat membantu penduduk untuk melakukan urusan perjalanan,” katanya dalam video di Facebook.

Ahmad Zahid berkata, terdapat kira-kira 130 calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tidak dapat menduduki peperiksaan itu berikutan kertas peperiksaan gagal sampai ke kawasan itu.

Dalam masa sama, seorang ibu bersalin telah dipindahkan oleh ambulan ke klinik berhampiran untuk rawatan, manakala seorang pesakit dialisis sedang diusahakan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Semoga penduduk di Felda Selancar, Rompin, Pahang terus tabah menghadapi keadaan banjir dan jalan utama yang telah terputus.

“InsyaAllah, bantuan akan tiba dan jambatan sementara akan siap dibina dalam jangka masa terdekat untuk membantu kehidupan penduduk di sana,” katanya lagi.

Lebih 5,000 penduduk di Felda Selancar terputus hubungan selepas laluan utama ke kawasan tanah rancangan itu runtuh susulan hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu.

Hujan lebat turut menyebabkan laluan alternatif ke kawasan yang mempunyai kira-kira 10 tanah rancangan itu ditenggelami air dan tidak dapat dilalui semua kenderaan. – Malaysiapost

Komen