Banjir: Penduduk diminta waspada, peka arahan pihak berkuasa – MB Johor
MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta penduduk yang berada di kawasan berisiko banjir untuk sentiasa berwaspada dan peka dengan maklumat atau arahan yang disalurkan melalui pihak berkuasa dan media.
Beliau berkata, jentera dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk Ahli Exco kini sedang berusaha untuk membantu semua mangsa banjir di Johor.
“Keselamatan rakyat adalah keutamaan kerajaan negeri dan kami sedang berusaha untuk memastikan semua aset dan anggota dikerahkan untuk membantu operasi membantu mangsa banjir,” katanya menerusi Facebook.

Dalam hantaran berasingan, Onn Hafiz berkata, susulan situasi banjir yang kritikal itu, beliau mengadakan mesyuarat tergempar bersama agensi terlibat di Bilik Gerakan Bencana Negeri Johor, malam tadi.
“Saya telah meminta agensi yang terlibat untuk menguruskan logistik untuk penghantaran khemah serta makanan retort (sedia untuk dimakan) ke kawasan berkenaan.
“Saya memahami kekangan yang sedang dihadapi oleh kesemua agensi terlibat, namun saya menaruh keyakinan ia boleh diatasi sekiranya diselaraskan dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata beliau memahami kepenatan yang dialami anggota petugas, namun berharap mereka akan terus diberi kekuatan dan semangat untuk berkhidmat.
Beliau juga mengakui bencana banjir yang melanda Johor buat kali kedua itu sebagai satu ujian yang cukup besar buat rakyat negeri berkenaan.
Terdahulu media melaporkan, setakat jam 7 pagi tadi, Johor terus mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 19,967 daripada 5,644 keluarga dengan 177 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri itu.
Antara daerah terjejas di negeri itu adalah Segamat, Kota Tinggi, Kulai, Kluang, Pontian, Johor Bharu, Mersing, Muar, Tangkak dan Batu Pahat. – Malaysiapost