Bekas Ketua Pejuang Muda umum keluar parti

Bekas Ketua Pejuang Muda umum keluar parti

BEKAS Ketua Pejuang Muda Malaysia, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin mengumumkan keluar daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Pejabat Setiausaha Agung Pejuang berkenaan pemberhentian keahliannya yang bernombor 000009.

Pengumuman keluar parti yang dibuat Abu Hafiz tersebut susulan kenyataan Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan parti itu telah memohon untuk menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Tular awal pagi ini berkenaan satu edaran dalaman Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) berkenaan keputusan kepimpinan Pejuang mengutus surat kepada PN dalam menzahirkan permohonan bagi menyertai PN sebagai parti komponen dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka selepas bulan Jun dan bagi perancangan jangka masa panjang.

“Saya sedar dan maklum ia adalah edaran dalaman namun telah tular di media sosial serta menjadi pengetahuan awam.

“Setelah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pe Mudajuang Malaysia pada 11 Disember 2022 yang lalu, saya menghormati segala perancangan dan keputusan strategik yang ingin dibuat oleh kepimpinan Pejuang.

“Bagaimanapun, keputusan mengutus surat secara rasmi bagi menjadi anggota komponen PN adalah berbeza dengan pendirian peribadi dan akademik saya yang melawan ekstremisme menyalahgunakan sentimen Melayu-Islam dan juga mereka yang cuba memusuhi segala unsur Melayu-Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abu Hafiz berkata, sebelum ini beliau mengambil inisiatif peribadi mengulas dan melawan ucapan, tulisan serta apa- apa naratif manipulasi agama-bangsa secara terbuka yang digunakan secara melampau dalam PN terutama PAS.

Sehubungan itu, beliau mengambil keputusan memberhentikan keahliannya dalam Pejuang, bagi lebih memfokuskan kepada tugs akademik dan hal-hal lain.

“Semoga Pejuang dan kepimpinannya terus dibimbing Allah SWT dalam ranah politik Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Mukhriz mengesahkan telah mengutus surat berkenaan permohonan Pejuang menyertai gabungan itu kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Surat yang sama telah disalinkan kepada Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang selaku Timbalan Presiden gabungan tersebut, serta Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Mukhriz berkata, keputusan itu disepakati oleh Majlis Eksekutif Pusat Pejuang (MEP) dua hari lalu setelah penelitian dan penilaian khusus semua opsyen-opsyen gabungan atau kerjasama politik yang ada. – Malaysiapost

Komen