Bekas suami terkejut Lufya tuntut mutaah RM1 juta
PELAKON dan penyanyi, Lufya Omar membuat tuntutan mutaah berjumlah RM1juta terhadap bekas suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini.
Lufya yang tiba di mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi ditemani ibunya dan peguamnya.
Sementara, Dr Muhammad Hafiz, 33, turut hadir di mahkamah bersama peguam syarie, Abdul Hadi Mohamad Salleh dan isteri, Julia Farhana Marin.
Sementara itu, Dr Muhammad Hafiz mengakui terkejut apabila menerima notis tuntutan mutaah berjumlah RM1 juta daripada bekas isteri walaupun sudah bercerai tiga tahun lalu.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut berhubung tuntutan yang dibuat oleh Lufya pada Oktober tahun lalu.
“Ya, saya terkejut dengan jumlah tuntutan. Saya nak minta maaf, perkara ini privasi dan saya tak nak beri apa-apa kenyataan buat masa ini sebab menghormati isteri saya.
“Memang sangat terkejut, apa-apa pun kita doakan yang terbaik. Semoga urusan semua pihak dipermudahkan,” katanya
Sementara itu, Lufya yang kelihatan sugul tidak memberikan sebarang respon ketika ditemui pihak media.
Kedua-dua pihak hadir ke mahkamah untuk pengurusan dokumen membabitkan tuntutan mutaah.
Untuk rekod, Lufya mendirikan rumah tangga dengan Dr Hafiz pada 26 November 2016 dan dikurniakan Laana Haura, 5.
Pasangan itu bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam pada pada 17 Jun 2020.
Dr Hafiz kemudian menamatkan zaman dudanya menerusi perkahwinan dengan pelakon, Julia Farhana pada 14 Disember 2022. – Malaysiapost