‘Bila ada amaran atap bocor, dengarlah baik-baik’ – Shabery Cheek

‘Bila ada amaran atap bocor, dengarlah baik-baik’ – Shabery Cheek

KERAJAAN Perpaduan diingatkan supaya tidak memandang sebelah mata dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa pentadbiran sedia ada akan tumbang tidak lama lagi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menggunakan bahasa kiasan mengaitkan kenyataan Abdul Hadi itu, mengingatkan kerajaan supaya berhati-hati.

“Tukang bumbung bukan calang-calang profesion.

“Dia boleh beritahu fasal jenis atap, paip, cat, cuaca, tangki air, gutter, tandas, pokok rendang bersebelahan hinggalah tikus mati yang menyebab paip tersumbat.

“Kepakarannya luar biasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Menurut Shabery, perbelanjaan membaiki bumbung boleh jadi sama dengan kos rumah.

“Bila ada amaran daripada tukang bumbung fasal atap bocor, dengarlah baik2…. musim tengkujuh tak abis lagi,” katanya.

Pada Selasa lalu, Ahli Parlimen Marang itu mengingatkan pemimpin kerajaan sedia ada agar tidak menyalahkan pembangkang sekiranya pentadbiran hari ini jatuh sekali lagi.

Abdul Hadi dilaporkan berkata, jika kerajaan sedia ada runtuh sekali lagi pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mengatakan ia ‘tebuk atap’ sebaliknya ia berlaku akibat ‘atap bocor’.

“Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan ‘tebuk atap’, tetapi ‘atapnya bocor’, ‘pintunya terbuka’ dan ‘dindingnya pecah’,”katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

Ketika pentadbiran PH runtuh pada 2020, penyokong dan pemimpin gabungan tersebut mengelarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih sebagai ‘kerajaan tebuk atap’. – Malaysiapost

Komen