Calon SPM perlu maklum sekolah, JPN jika terkandas banjir

Calon SPM perlu maklum sekolah, JPN jika terkandas banjir

SEMUA calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dinasihatkan memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan, berkata calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan banjir yang disediakan di ibu pejabat Lembaga Peperiksaan (LP) dan JPN di seluruh negara untuk sebarang masalah.

“Penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan bagi calon berkenaan setelah mendapat pengesahan Pengarah Pendidikan Negeri,” menurut kenyataan itu hari ini.

KPM berkata, berikutan hujan lebat berterusan pada 1 Mac, sebanyak 17 pusat peperiksaan di Johor, Pahang dan Sarawak telah terjejas.

Katanya, daripada jumlah ini, sebanyak tujuh pusat peperiksaan tidak dapat dibuka disebabkan terputus hubungan dan jalan raya tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Menurut KPM, di Johor dan Pahang, seramai 195 calon terkesan dengan banjir namun berjaya digerakkan ke pusat-pusat peperiksaan yang berhampiran dengan bantuan agensi kerajaan untuk menduduki peperiksaan.

“Manakala, seramai 431 calon terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang dijadualkan atau pusat peperiksaan yang berhampiran.

“KPM melalui LP sedang mengumpulkan maklumat terperinci mengenai calon yang terlibat dan penjadualan semula peperiksaan SPM tahun 2022 akan dilaksanakan bagi kesemua 431 calon tersebut,” katanya.

Sementara itu, KPM berkata, pihaknya sentiasa cakna dengan situasi semasa dan siap siaga dengan prosedur operasi standard dan langkah persediaan yang sewajarnya bagi memastikan peperiksaan SPM tahun dapat diteruskan dengan lancar dan teratur.

Dalam masa sama, pengurusan pengendalian peperiksaan SPM dalam situasi banjir dilaksanakan berpandukan kepada Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan (Operasi Payung) Bil.1/2001.

“KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik dan akan terus memantau situasi banjir sepanjang peperiksaan SPM tahun 2022 berlangsung,” ujarnya.

Media melaporkan jumlah terkini mangsa banjir yang melanda enam negeri terus meningkat kepada 22,521 orang daripada 6,339 keluarga. – Malaysiapost

Komen