Dakwaan projek RM700 juta, polis serah kes kepada SPRM

Dakwaan projek RM700 juta, polis serah kes kepada SPRM

SIASATAN berhubung projek tebatan banjir bernilai RM700 juta yang didakwa membabitkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kes itu dirujuk kepada SPRM kerana ia melibatkan elemen rasuah.

“Setakat ini, ada satu laporan polis diterima membabitkan kes terbabit.

“Kes itu kita (polis) telah rujuk kepada SPRM untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Beliau mengulas laporan polis dilakukan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Selangor, Mohd Shukor Mustaffa berhubung kes tersebut semalam.

Semalam, PN Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat pembabitan Amirudin dengan sebuah syarikat didakwa dianugerahkan projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus oleh kerajaan negeri.

Gesaan itu selepas tular di media sosial mendakwa Amirudin menyalah guna kuasa dan mempunyai konflik kepentingan dengan menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar bagi menganugerahkan projek terbabit kepada syarikat berkenaan.

Namun, Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin dilaporkan berkata, projek bagi tujuan meningkatkan kapasiti sungai untuk menangani isu pencemaran dan banjir itu, tidak membabitkan suntikan tunai daripada kerajaan Selangor.

Semalam juga, Amirudin menyifatkan laporan polis dibuat PN terhadapnya berhubung ibarat menghantar ‘peluru kapur’, sebagai tindakan untuk menyerang kerajaan negeri pimpinannya, selain seolah-olah mahu menggambarkan bahawa terdapat kepentingan peribadi dalam isu berkait syarikat itu.

Beliau menjelaskan, kehadirannya dan Izham dalam syarikat terbabit bukan atas dasar peribadi, sebaliknya mewakili kerajaan negeri untuk memastikan kepentingan kerajaan negeri dijamin dengan selesa, tidak terganggu dan tidak terkurang. – Malaysiapost

Komen