Jumlah mangsa banjir 6 negeri meningkat kepada 22,521 orang
JUMLAH terkini mangsa banjir yang melanda enam negeri terus meningkat kepada 22,521 orang daripada 6,339 keluarga.
Menurut laman portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 222 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan mangsa di Johor, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Pahang dan Melaka, lapor Berita Harian.
Setakat jam 7 pagi tadi, Johor terus mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 19,967 daripada 5,644 keluarga dengan 177 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri itu.
Antara daerah terjejas di negeri itu adalah Segamat, Kota Tinggi, Kulai, Kluang, Pontian, Johor Bharu, Mersing, Muar, Tangkak dan Batu Pahat.
Pahang menjadi negeri kedua teruk terjejas dengan merekodkan 1,375 mangsa daripada 374 keluarga yang ditempatkan di 26 PPS yang dibuka.
Daerah yang terkesan adalah Maran, Rompin, Raub, Jerantut dan Pekan.
Sementara itu, Negeri Sembilan membuka 11 PPS untuk menempatkan 853 mangsa daripada 232 keluarga.
Kawasan terjejas adalah Tampin, Jempol dan Kuala Pilah.
Di Sarawak pula merekodkan 148 mangsa daripada 43 keluarga dengan empat PPS dibuka di kawasan Kuching, Serian dan Sri Aman.
Sementara di Sabah, setakat ini, 108 mangsa daripada 24 keluarga dilaporkan terjejas dipindahkan ke satu-satunya PPS di daerah Tongod yang dibuka setakat ini.
Negeri terkini yang turut terkesan banjir ialah Melaka dengan 70 mangsa daripada 22 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS dibuka di daerah Alor Gajah dan Jasin. – Malaysiapost