Ka Siong dedah terima surat saman kedua pengimport telur

Ka Siong dedah terima surat saman kedua pengimport telur

KURANG seminggu, Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendedahkan menerima sepucuk lagi surat saman kedua daripada pengimport telur dari India.

Perkara itu dikongsi Presiden MCA berkenaan menerusi hantaran Facebooknya hari ini, selain mengakui terkilan dengan tindakan tersebut.

“Saya rasa terkilan kerana baru saja menerima surat kedua dari peguam yang mewakili syarikat pengimport telur dari India.

“Saya tidak gentar dan tetap mempertahankan kenyataan yang telah saya buat di dalam Dewan Rakyat,” tulisnya.

Tegas Ka Siong, perkara itu tidak akan menghalangnya daripada terus bersuara demi kepentingan rakyat di Parlimen, selain akan menyerahkan kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.

“Tiada siapa yang dapat menghalang saya untuk bersuara demi kepentingan rakyat jelata. Tiada siapa dapat menghentikan saya daripada menjadi jurucakap rakyat!

“Saya serahkan kepada peguam saya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Isnin lalu, Ka Siong mendedahkan beliau menerima surat saman daripada pengimport telur dari India susulan kenyataan dibuat ketika mencelah pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat minggu lalu.

Beliau meraih perhatian apabila membawa tiga telur ayam berlainan jenis iaitu telur dari India, telur omega dan telur tempatan ke Dewan Rakyat.

Beliau ketika itu menggesa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menumpu soal ketidakcukupan telur ayam tempatan, bukannya mengimport telur antaranya dari India untuk menampung keperluan domestik.

“Sebagai seorang Ahli Dewan Rakyat, saya hanya menjalankan tanggungjawab untuk membangkitkan isu yang melibatkan kepentingan negara.

“Saya tak pernah sebut nama mana-mana syarikat atau individu dalam perbahasan saya di Dewan Rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen