Lebih 30,000 mangsa banjir di Johor

Lebih 30,000 mangsa banjir di Johor

JUMLAH mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 30,300 orang berbanding 28,000 penduduk, sehingga jam 8 malam ini.

Mereka terdiri daripada 8,520 keluarga yang ditempatkan di 209 pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani berkata, ia meningkat berbanding 7,805 keluarga pada jam 4 petang tadi.

“Segamat masih mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu seramai 9,818 daripada 2,758 keluarga yang ditempatkan di 66 PPS.

“Kluang yang juga daerah kedua terjejas turut mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir iaitu seramai 5,547 mangsa daripada 1,574 keluarga di 38 PPS.

“Batu Pahat juga merekodkan penambahan mangsa kepada 3,761 orang daripada 1,021 keluarga di 23 PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azmi, Kota Tinggi pula mencatatkan penurunan jumlah mangsa kepada 2,868 orang daripada 757 keluarga, dengan 18 PPS masih beroperasi di daerah itu.

Katanya, seramai 2,259 mangsa daripada 621 keluarga pula kini ditempatkan di 13 PPS di Muar.

“Manakala di Johor Bahru menempatkan 1,319 mangsa daripada 402 keluarga yang masih berada di lapan PPS.

“Di Tangkak, seramai 1,013 mangsa banjir daripada 271 keluarga kini ditempatkan di 15 PPS. Bagi daerah Kulai, 719 mangsa daripada 179 keluarga pula dipindahkan ke lima PPS.

“Mersing turut terjejas pada banjir kali ini apabila seramai 538 mangsa daripada 160 keluarga dipindahkan ke enam PPS.

“Juga di Pontian seramai 257 mangsa daripada 60 keluarga yang dipindahkan ke lima PPS,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, empat daerah lain dijangka akan menerima hujan berterusan sehingga Sabtu dengan amaran tahap waspada atau kuning.

“Amaran tahap buruk dikeluarkan bagi Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru, manakala tahap waspada dikeluarkan bagi Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto APM Johor

Komen