‘Macamana nak tolong mangsa banjir kalau pembangkang tak dapat peruntukan’ – Hassan

‘Macamana nak tolong mangsa banjir kalau pembangkang tak dapat peruntukan’ – Hassan

AHLI Parlimen Pasir Gudang daripada Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan memberi peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti diwakilinya.

Menurut Hassan Abdul Karim, kerajaan perlu berlaku adil kepada semua Ahli Parlimen atau berisiko menjadikan rakyat sebagai mangsa jika peruntukan tidak diagihkan kepada wakil rakyat pembangkang.

“Misalnya sekarang banjir di Johor. Negeri ini ada 26 Ahli Parlimen, 24 daripada PH dan Barisan Nasional (BN), manakala dua daripada Perikatan Nasional (PN) iaitu di Pagoh dan Mersing.

“Sekarang bayangkanlah banjir di Mersing. Ahli Parlimen Mersing tidak diberi peruntukan, sedangkan yang lain (Ahli Parlimen kerajaan) dapat peruntukan.

“Jadi macam mana dia nak tolong rakyat dia? Bukan semua Ahli Parlimen kita kaya.

“Maknanya saya tak boleh, kalau untuk kita (Ahli Parlimen kerajaan) okay tapi untuk (parti) lawan, pandai-pandailah, tak boleh macam tu, mesti adil,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen PN kerap mempersoalkan mengenai peruntukan wakil rakyat yang masih belum diterima mereka, berbanding amalan pemberian peruntukan secara adil ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.

Ketika ini, situasi banjir di Johor dilaporkan semakin kritikal dengan mangsa banjir melonjak kepada lebih 25,000 setakat jam 8 pagi tadi.

Pada masa sama, beliau menggesa kerajaan melaksanakan pindaan undang-undang bagi menjamin pemberian peruntukan yang adil kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, diberi secara automatik.

Menurutnya, kerajaan perlu membuktikan perjuangan reformasi melalui tindakan, antaranya dengan melakukan pindaan undang-undang berkenaan. – Malaysiapost

Komen