MAHB mohon maaf aerotrain rosak di tengah landasan

MAHB mohon maaf aerotrain rosak di tengah landasan

MALAYSIA Airport Holdings Berhad (MAHB) memohon maaf kepada semua penumpang yang menghadapi kesulitan susulan kerosakan aerotrain, semalam.

MAHB dalam kenyataan di Facebook berkata, aerotrain itu rosak di tengah-tengah landasan dalam kejadian yang berlaku jam 3 petang.

Aerotrain digunakan sebagai pengangkutan perantara menghubungkan bangunan terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke bangunan satelit.

“Kami ingin memohon maaf kepada semua penumpang yang menaiki aerotrain kami dari bangunan terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke bangunan satelit pada jam 3 petang tadi (semalam).

“Apabila tren berhenti di tengah-tengah landasan, kami segera menghantar kereta api kedua untuk mengangkut penumpang untuk sepanjang perjalanan,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, tren kedua juga mengalami nasib yang sama apabila turut rosak dan penumpang terpaksa berjalan kaki ke bangunan satelit.

“Malangnya, tren kedua juga mengalami kesukaran teknikal yang mengakibatkan penumpang terpaksa berjalan kaki ke Bangunan Satelit untuk melengkapkan perjalanan.

“Sukacita dimaklumkan bahawa semua penumpang telah selamat sampai ke bangunan satelit dengan diiringi oleh pegawai keselamatan kereta api kami.

“Paramedik juga bersiap sedia untuk sebarang bantuan yang mungkin diperlukan. Penumpang kemudian dibawa ke hotel transit Sama-Sama Express sebelum menaiki penerbangan mereka.

“Kami juga mendapatkan bantuan syarikat penerbangan untuk memudahkan penumpang yang mungkin terlepas penerbangan disebabkan situasi ini,” katanya.

Sehubungan itu, MAHB memaklumkan telah menghentikan semua operasi Aerotrain sehingga diberitahu kelak bagi mengatasi masalah isu teknikal.

“Seperti yang diumumkan sebelum ini, kami telah memulakan program penggantian Aerotrain kami tahun lepas dan ia akan siap pada 2025.

“Kami sedang memuktamadkan fasa reka bentuk dan akan memulakan fasa pembinaan tidak lama lagi pada Q2 tahun ini.

“Sementara itu, tren sedia ada yang berusia 24 tahun berjalan pada waktu operasi yang dijadualkan untuk memastikan rejim penyelenggaraan yang mantap berikutan keadaan penuaannya,” katanya.

Sementara itu, menerusi video tular di Facebook, kerosakan aerotrain itu menyebabkan penumpang terpaksa berjalan mengikut trek landasan untuk ke bangunan satelit dalam keadaan hujan. – Malaysiapost

Komen