Onn Hafiz turun Segamat, pastikan bantuan mangsa banjir lancar
MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turun padang ke daerah Segamat hari ini bagi memastikan semua mangsa banjir mendapat bantuan yang sewajarnya dan berada dalam keadaan selamat.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau meminta orang ramai berdoa agar segala urusan mangsa banjir dan petugas penyelamat dipermudahkan.
Beliau turut memaklumkan mangsa banjir di Johor kini mencecah hampir 24,000.
“Sama-samalah kita semua berdoa agar dipermudahkan segala urusan mangsa-mangsa banjir dan petugas-petugas di seluruh negeri Johor.
“Selepas menggerakkan peralatan khemah dan bantuan makanan tambahan melalui mesyuarat tergempar di bilik gerakan bencana Johor, saya turun ke daerah Segamat untuk memastikan segala perancangan berjalan lancar.
“Terima kasih juga kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia kerana sudi menumpangkan saya dan pegawai agensi-agensi berkaitan dengan jentera mereka untuk menyeberangi jalan-jalan utama di Segamat yang ditenggelami banjir.
“Syukur Alhamdulillah perancangan dari segi logistik berjalan dengan lancar biar ada penambahan yang diperlukan pada saat-saat akhir,” katanya.
Pada masa sama, Onn Hafiz turut menzahirkan penghargaan terima kasih kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas bantuan yang diberikan kepada rakyat yang ditimpa musibah banjir.
“Semoga kurniaan yang disampaikan juga melalui Yayasan Sultan Ibrahim, JMF, bantuan makanan dan pemeriksaan kesihatan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta peruntukan dari kerajaan negeri sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada mangsa-mangsa yang sedang berlindung di PPS.
“Menjunjung Kasih DYAM Tunku Mahkota Johor yang sangat prihatin terhadap mangsa banjir dan petugas,” katanya. – Malaysiapost