Pemimpin lama bertanding MKT Umno

Pemimpin lama bertanding MKT Umno

BEBERAPA pemimpin lama Umno dilihat membuat kemunculan semula dengan menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada pemilihan parti bulan ini.

Antaranya, ialah bekas Ahli MKT Umno, Datuk Sohaimi Shahadan; bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Dr Lilah Yasin serta bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharom.

Sohaimi yang mula memperlahankan aktiviti politiknya sejak hampir lima tahun lalu, kembali bertanding untuk merebut jawatan yang dipegang pada 2013 hingga 2018.

Lilah pula kembali aktif selepas menyepikan diri daripada politik hampir sepenggal selepas tewas pemilihan Ketua Umno Bahagian Jempol kepada Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif pada pemilihan 2018.

Manakala, Mohamad Khir pula dikatakan membuat penampilan semula dalam arena politik sejak tahun lalu.

Selain bertanding jawatan MKT Umno, beliau turut bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar dan mencabar penyandangnya, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Selain itu, veteran Umno, Datuk Rafi Awang Kechik juga mengesahkan bertanding merebut jawatan itu pada pemilihan parti 2023/2026 yang berlangsung pada 18 Mac ini.

Pemilihan Umno bagi penggal 2023/2026 membabitkan jawatan Ahli MKT menyaksikan seramai 95 percalonan.

Antara nama besar yang sah mencalonkan diri pada pemilihan kali ini adalah mereka yang bertaraf menteri dan timbalan menteri. – Malaysiapost

Komen