Wakil rakyat ditegur merokok di bangunan Parlimen

Wakil rakyat ditegur merokok di bangunan Parlimen

AHLI Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (PH-DAP) membangkitkan isu berkaitan larangan merokok di bangunan Parlimen ketika persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau mendakwa, beberapa wakil rakyat tidak mengendahkan larangan merokok di bangunan Parlimen.

Katanya, bilik Whip Ahli Parlimen turut menjadi kawasan perokok.

“Saya nak minta perhatian Timbalan Menteri Kesihatan. Banyak usaha dijalankan kementerian untuk laksanakan larangan merokok tapi saya nak minta kita jangan pergi terlalu jauh, kita tumpu pada bangunan Parlimen ini.

“Ramai yang masih merokok sungguh pun bangunan Parlimen adalah kawasan larangan merokok. Kita lihat di bilik Whip juga, ramai yang merokok dalam bilik Whip.

“Saya rasa kita harus tunjuk contoh yang baik kepada semua. Kita adalah wakil rakyat.

“Apa pandangan Timbalan Menteri Kesihatan? Apa usaha yang harus kita lakukan terhadap perokok untuk kita beri pendidikan kepada mereka kalau nak merokok, pergi ke luar sana (di kawasan dibenarkan merokok). Jangan menyusahkan orang lain,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sesi soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.

Menjawab soalan itu, Lukanisman kemudian menasihatkan agar Ahli Parlimen dapat membuang tabiat merokok, tetapi sekiranya ingin diteruskan, beliau menyarankan agar merokok di ruangan yang bersesuaian. – Malaysiapost

Komen