Agong terima mengadap Sheikh Hamdan Zayed Al Nahyan
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menerima menghadap Sheikh Hamdan Zayed Al Nahyan di Emirates Palace Hotel, Abu Dhabi semalam.
Sheikh Hamdan Zayed merupakan wakil pemerintah di Wilayah Al Dhafra, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah UAE.
Istana Negara dalam kenyataan di Facebook, memaklumkan Seri Paduka menzahirkan penghargaan atas kerjasama dan bantuan yang diberi kerajaan UAE dan Persatuan Bulan Sabit Merah UAE, dalam menyampaikan sumbangan kerajaan Malaysia sejumlah 40 tan barangan bantuan kemanusiaan di Syria.
Selain itu, kedua-dua pemimpin turut menyentuh berkenaan hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan UAE, serta bidang kerjasama berpotensi yang boleh diterokai oleh kedua-dua negara.
Turut hadir dalam sesi menghadap yang berlangsung pada 6.30 petang waktu tempatan itu (10.30 malam waktu Malaysia) ialah Duta Besar Malaysia ke UAE, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin
Al-Sultan Abdullah berada di UAE bagi lawatan khas tujuh hari bermula 24 Februari.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, turut berangkat mengiringi Al-Sultan Abdullah dalam lawatan itu. – Malaysiapost