‘Azhan tak tolak kuat, saya yang salah landing’ – Fasha Sandha

‘Azhan tak tolak kuat, saya yang salah landing’ – Fasha Sandha

AKTRES Fasha Sanda yang cedera ketika menjalani penggambaran drama di Johor kelmarin, meminta peminat tidak menyalahkan rakan gandingan, Azhan Rani atas insiden itu.

Menerusi rakaman suara yang dimuat naik Azhan di Instagram (IG) miliknya, Fasha menjelaskan pelakon itu tidak menolaknya dengan kuat ketika adegan berkenaan dilakonkan.

Malah, Fasha juga meminta temannya itu supaya tidak risau dengan tuduhan dilemparkan pihak yang tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku di set penggambaran.

Melalui perkongsian IG itu, Azhan juga memaparkan foto dirinya menziarahi aktres terbabit di sebuah pusat perubatan di Johor Bahru, hari ini.

“Abang jangan risau, orang kata abang tolak kuat, sebenarnya tak kuat pun, video semua ada. Itu hanyalah andaian orang sahaja, mereka yang bukan dalam industri tidak tahu pun.

“Sebenarnya, abang bukan tolak betul-betul, ia hanyalah lakonan. Saya yang ‘landing’ di tempat salah. Lagipun, benda sudah jadi, hendak buat macam mana,” kata Fasha melalui rakaman suara itu.

Fasha juga berjanji membuat kenyataan mengenai kemalangan itu, tidak lama lagi.

“Saya akan beri kenyataan sehari dua lagi. Buat masa ini, saya tidak boleh menulis sebab apa yang saya taip akan jadi ‘double’.

“InsyaAllah semuanya akan baik-baik sahaja,” katanya.

Kelmarin, Fasha berkongsi klip video kemalangan di set penggambaran drama Anak Tuan arahan Along Kamaluddin.

Melalui paparan rakaman video itu, Fasha dilihat ditolak Azhan sehingga kepala dan matanya terkena pada bucu katil secara tidak sengaja.

Kemalangan itu menyebabkan tulang mata kiri pelakon itu patah selain bebola matanya berdarah dan bengkak.

Berikutan itu, Azhan dikecam netizen yang mendakwa dia bertindak keterlaluan dalam menghidupkan babak berkenaan. – Malaysiapost

Komen