Banjir makin buruk, Johor mohon bantuan petugas

Banjir makin buruk, Johor mohon bantuan petugas

JOHOR memohon bantuan kerajaan Persekutuan dan negeri yang tidak terjejas banjir untuk membantu negeri itu kerana petugas sedia ada tidak mencukupi dengan jumlah mangsa banjir yang semakin meningkat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sehingga jam 1 petang tadi, semua 10 daerah di negeri itu sudah dilanda banjir dengan melibatkan lebih 33,000 mangsa.

Beliau berkata, semua agensi kini berhempas pulas untuk membantu dan setelah tiga hari banjir melanda, ramai antara petugas sudah mula keletihan, namun masih tetap bersemangat.

“Saya juga minta tambahan dari segi jentera atau pun petugas dari negeri-negeri lain yang tidak terlibat banjir, contohnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sebagainya.

“Bantuan daripada kerajaan Persekutuan juga dialu-alukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yong Peng 1, hari ini.

Mengulas mengenai isu bantuan yang lewat tiba, beliau memaklumkan semua bantuan telah digerakkan bermula hari pertama banjir, namun kelewatan disebabkan jumlah mangsa yang terlalu ramai.

“Kita turut mendapat daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan individu yang membantu memberikan pakaian dan makanan.

“Kita ucapkan jutaan terima kasih dan untuk rakyat Johor secara keseluruhan kerana kekal bersabar, tenang dan tabah dalam ujian yang cukup getir ini,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Twitter

Komen