Banjir: Warga emas ditemui lemas dalam kereta

Banjir: Warga emas ditemui lemas dalam kereta

SEORANG warga emas ditemui lemas dalam keretanya di ladang kepala sawit di Jalan Utama Felda Selancar 2, Rompin, selepas banjir surut.

Mangsa, Abdullah Satar, 73, ditemukan dalam kereta jenis Proton Iswara yang dipercayai dihanyutkan air dalam kejadian banjir yang melanda Felda Selancar 2.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohd Azahari Mukhtar berkata, mangsa yang merupakan peneroka di Felda Selancar 2 ditemukan pukul 6.40 petang semalam selepas banjir surut.

“Berdasarkan siasatan, keluarganya mendakwa mangsa hilang selepas keluar rumah sejak Rabu lalu dan gagal dihubungi menyebabkan mereka mencarinya, namun gagal.

“Anak mangsa mendakwa dihubungi rakannya yang memaklumkan kereta Proton Iswara mangsa dijumpai dalam ladang itu dengan mangsa di dalamnya,” katanya

Mohd Azahari berkata, polis bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah serta dibantu penduduk berjaya mengeluarkan mayat mangsa.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Malaysiapost

Komen