Bekas Presiden MCA, Tan Sri Lee San Choon meninggal dunia
BEKAS Presiden MCA, Tan Sri Lee San Choon meninggal dunia pada usia 88 tahun, pagi tadi.
Berita sedih itu dimaklumkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menerusi hantaran Facebooknya, sebentar tadi.
“MCA berduka hari ini apabila menerima berita pemergian Tan Sri Lee San Choon, Presiden MCA keempat, yang telah menghembuskan nafas terakhirnya pagi tadi.
“Mendiang yang pernah menjadi Ahli Parlimen termuda semasa Pilihanraya Umum pada 19 Ogos, 1959 ini telah mengabdikan diri kepada masyarakat dan negara, sudah tentu jasa dan khidmatnya akan terus dikenang sampai bila-bila,” katanya.
Ka Siong berkata, semangat juang mendiang yang begitu tinggi menjadi sumber inspirasi serta kekuatan kepada pimpinan serta ahli MCA hari ini, termasuk dirinya.
“Secara peribadi saya amat kagum dengan ketokohan beliau dalam memimpin parti, membela nasib rakyat berbilang kaum dan bersama membina negara.
“Salam takziah buat ahli keluarga kepada mendiang Tan Sri Lee San Choon. Semoga rohnya bersemadi dengan tenang,” katanya.
Untuk rekod, mendiang pernah memikul tanggungjawab sebagai Menteri Pengangkutan dan diberi mandat rakyat sebagai Ahli Parlimen Seremban.
Sebagai penghargaan atas jasanya, MCA telah menamakan dewan di Wisma MCA sebagai Dewan San Choon. – Malaysiapost