Bila masa ada protokol untuk siasat hakim? soal bekas Ketua Hakim Negara

Bila masa ada protokol untuk siasat hakim? soal bekas Ketua Hakim Negara

BEKAS Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad mempersoalkan penghakiman yang mengatakan Hakim dianggap sebagai warganegara yang mempunyai akhlak yang tertinggi dan tidak boleh dicela jika mereka melakukan jenayah.

Menurutnya, alasan siasatan terhadap hakim akan merosakkan imej Badan Kehakiman juga tidak boleh diterima dan ia bersifat ‘masuk bakul angkat sendiri’ serta merendahkan semua orang lain.

“Jika perkara yang sama dilakukan terhadap seorang Raja, Perdana Menteri, Menteri, pegawai tinggi Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lain-lain, tidakkah ia juga merosakkan imej institusi yang dia berkhidmat?” katanya.

Beliau mengulas mengenai alasan penghakiman panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan pada 24 Februari lalu yang memutuskan siasatan oleh SPRM terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dilakukan tanpa mengambil kira aspek berkaitan kebebasan kehakiman, dan tidak mengikut protokol.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel itu berkata, cara penyiasatan dijalankan ke atas Mohd Nazlan dengan menghebahkannya melalui kenyataan akhbar, kelihatan tidak menjaga keyakinan terhadap kebebasan badan kehakiman.

Beliau turut berkata, siasatan terhadap Nazlan yang dilakukan tanpa rundingan dengan badan kehakiman juga menimbulkan keraguan sama ada siasatan terhadapnya dilakukan secara bona fide (dengan niat baik).

Abdul Hamid mempersoalkan penghakiman itu yang mengatakan SPRM tidak mengikut protokol dalam melakukan siasatan terhadap Mohd Nazlan.

“Sekarang mahkamah itu membuat protokol yang perlu dipatuhi oleh badan penyiasat (seperti Polis dan SPRM) dan Pendakwa Raya. Itu soal dasar. Sama ada protokol hendak diadakan dan apakah isi kandungannya adalah perkara dasar. Kuasa menentu dan memutuskan perkara dasar terletak kepada Eksekutif, sama ada Ketua Hakim Negara suka atau tidak.

“Jika hendak dikuatkuasakan, ia perlu dijadikan undang-undang oleh Parlimen, bukan oleh mahkamah melalui penghakiman. Mahkamah Persekutuan telah melakukan sesuatu di luar bidang kuasanya.

“Jika tribunal lain berbuat demikian, mahkamah akan memansuhkannya melalui semakan kehakiman. Apabila kesalahan itu dilakukan oleh Mahkamah Persekutuan, siapa akan memansuhkannya? soalnya.

Beliau berkata, pada masa penyiasatan itu dimulakan, protokol juga belum disebut oleh mahkamah, apatah lagi diperundangkan oleh Parlimen.

“Bagaimana mahkamah tertinggi itu boleh menyalahkan SPRM kerana tidak mematuhi protokol yang belum ada? Ini ‘common sense’. Takkanlah seorang pun daripada tujuh orang Hakim itu tidak terfikir.

“Masa penyiasatan dibuat juga menjadi alasan untuk menuduh SPRM berniat jahat. Niat jahat untuk apa? Hanya satu kemungkinan: untuk membebaskan Datuk Seri Najib Razak.

“Tolong beri satu sebab mengapa, setelah bersusah-payah menyiasat DS Najib, SPRM mahu beliau dibebaskan pula?, soalnya lagi.

Abdul Hamid berkata, beliau terpanggil mengulas mengenai perkara ini selepas melihat tindakan Badan Kehakiman seperti membela Hakim Mohd Nazlan yang pada fikirannya adalah tidak patut dilakukan.

Beliau berkata, ulasannya adalah bagi membolehkan orang ramai dapat membuat pertimbangan dan keputusan dengan lebih adil. – Malaysiapost

Komen