Cuaca buruk hampir seluruh negara hingga lewat petang – MetMalaysia
JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir hampir di seluruh negara sehingga jam 7 petang ini.
MetMalaysia berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda seluruh negeri Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Labuan.
Sementara itu, di Perak melibatkan daerah Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
“Bagi negeri di Pantai Timur, cuaca buruk yang sama tertumpu sekitar Gua Musang, Kelantan serta beberapa kawasan di Terengganu (Hulu Terengganu dan Dungun), termasuk tiga daerah di Pahang (Jerantut, Bentong dan Temerloh),” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Negeri Sembilan turut berisiko dilanda hujan lebat serta ribut petir melibatkan Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau.
“Di Sarawak merangkumi kawasan Sibu (Selangau), Mukah (Dalat dan Mukah), Kapit (Song dan Belaga), Bintulu, Miri (Subis) dan Limbang.
“Manakala di Sabah pula dilaporkan melanda Pedalaman, Pantai Barat, Sandakan (Tongod, Telupid dan Beluran) dan Kudat,” katanya. – Malaysiapost