Hadir kenduri, ziarah kematian antara KPI Ahli Parlimen Kepala Batas
MENZIARAHI kematian dan hadir kenduri adalah antara yang tersenarai dalam pencapaian kad laporan 100 hari Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad.
Menerusi kad prestasi itu, Siti Mastura menyenaraikan 58 kenduri membabitkan majlis perkahwinan dan kenduri kesyukuran selain 36 ziarah kematian sebagai antara pencapaian utama beliau.
Perkara itu sekali gus mengundang kritikan netizen yang tidak menyangka menziarahi kematian dan hadir kenduri sebagai indikator untuk mengukur indeks pencapaian utama (KPI) seorang Ahli Parlimen.
“Senangnya jadi wakil rakyat, KPI low class begini pun boleh letak dalam kad laporan? Siapa pun boleh jadi wakil rakyat sudah. Hadir sini dan sana je,” kata Jeff Hys.
“Lepas ini ziarah menziarahi tak perlu letak dalam laporan YB, baru nampak lagi gempak,” kata Muhamad Taufiq Sheikh Daud.
“Maaf YB, pada pandangan saya kad laporan ini tujuannya untuk menunjukkan kepada rakyat pencapaian YB. Ziarah kematian dan makan kenduri bukanlah suatu bentuk pencapaian. Takkanlah ramai orang meninggal di Kepala Batas atau ramai yang menikah dikira satu pencapaian.
“Bagi saya sepatutnya YB pilihlah indikator lain yang lebih bernas, manfaat dan memberikan impak kepada rakyat bukannya ziarah mayat, makan kenduri, hadir mesyuarat dan perjumpaan sebagai penanda aras pencapaian YB,” kata Azdy Mohd Arshad
Dalam pada itu, ada juga yang memuji pencapaian Siti Mastura menyenaraikan ziarah dan bantuan kepada mangsa musibah, selain bantuan warga emas, orang kurang upaya (OKU), orang sakit dan asnaf dalam kad laporan itu.
Selain itu, menerusi kad laporan sama, Siti Mastura turut menyenaraikan pertemuan bersama agensi kerajaan, pemudahcara aduan rakyat dan program bersama NGO dan masyarakat sebagai indikator utama.
Kad laporan prestasi oleh wakil rakyat kebiasaannya dikongsi kepada umum untuk menunjukkan hasil kerja yang berjaya dicapai dalam tempoh tertentu.
Terdahulu, Siti Mastura mencipta kejutan besar di kerusi Parlimen Kepala Batas apabila menewaskan calon pilihan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan majoriti 2,867 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – Malaysiapost