‘Siapa kata itu Menu Rahmah?’ – Hanafiah
EXCO Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat menafikan dakwaan beliau mempersendakan menu Rahmah.
Beliau menjelaskan, makanan yang dijamahnya dalam video yang tular hari ini bukanlah menu berkenaan sebagaimana yang didakwa.
“Itu bukan Menu Rahmah, saya tak sebut tu Menu Rahmah, tangan-tangan jahat ni, orang politik ni yang iri hati terhadap saya yang sangat berjaya sebagai Exco di Terengganu yang sentiasa beri bantuan dan dekat di hati rakyat.
“Pada kejadian itu saya memang makan nasi dengan ikan goreng, ada sayur campur dan ayam, ada dua jenis sayur serta telur. Nasi itu kebetulan tak ada kuah.
“Saya memang orang Terengganu, saya memang tak pernah makan nasi tak ada kuah. Gunakan air yang saya minum sebagai kuah dan saya makan nasi tu sampai habis. Ia dilihat beberapa kawan saya. Kawan saya pun dia letak air makan nasi,” katanya memetik laporan FMT.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai itu berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah berkenaan.
“Saya akan ambil tindakan peguam terhadap tangan-tangan jahat cuba menjatuhkan reputasi saya sebagai wakil rakyat,” katanya.
Terdahulu, pengguna Twitter, Shahbudin Husin, yang berkongsi video itu berkata Hanafiah cuba memperlekehkan Menu Rahmah.
Turut berkongsi video sama, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berkata, ramai orang susah dan tidak mampu mendapat manfaat daripada Menu Rahmah.
Video tular itu mendapat kecaman daripada netizen dengan rata-rata menyifatkan Hanafiah tidak sewajarnya bertindak sedemikian sekiranya tidak bersetuju dengan hidangan Menu Rahmah. – Malaysiapost