‘Hargai nikmat makanan walau sekecil mana pun’ – Khairuddin tegur Exco Terengganu

‘Hargai nikmat makanan walau sekecil mana pun’ – Khairuddin tegur Exco Terengganu

SETIAUSAHA Eksekutif Majlis Ulama Umno, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegur tindakan individu yang mengkritik dan mencela makanan.

Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak, namun teguran itu dipercayai ditujukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Hanafiah Mat yang didakwa memperlekeh Menu Rahmah dalam video tular, hari ini.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS menasihati inidvidu berkenaan supaya menghargai nikmat makanan pemberian Allah SWT walau sekecil mana sekalipun.

“Makanan adalah nikmat pemberian Allah. Barangkali ia tidak sedap dan tidak bernilai bagi sebahagian orang tetapi di sisi sebahagian orang yang susah sangat besar nilainya.

“Justeru, Nabi saw tidak pernah sekali pun mencela makanan atau merungut.

“Sahabat Nabi saw bernama Abu Hurairah meriwayatkan: Nabi SAW sama sekali tidak pernah mencela makanan. Sekiranya dia suka dia makan. Jika tidak (disukai) beliau meninggalkannya,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, tular video Exco Terengganu, Hanafiah Mat Hanafizah yang didakwa memperlekehkan Menu Rahmah yang dibelinya.

Dalam video berdurasi 18 saat itu, Hanafiah dilihat mempamerkan Menu Rahmah yang dinikmati beliau sambil berungut menu berkenaan tidak berkuah.

“Ikan seekor, sayur kuah tidak ada pula. Ni kuah dia (sambil menuangkan teh kosong di dalam pinggan).

“Jadilah, baru rasa nasi. Bismillahirrahmanirrahim,” kata beliau dalam video berkenaan.

Video tular itu mendapat kecaman daripada netizen dengan rata-rata menyifatkan Hanafiah tidak sewajarnya bertindak sedemikian sekiranya tidak bersetuju dengan hidangan Menu Rahmah terbabit. – Malaysiapost

Komen