Kemenangan pertama ‘Bossku’ – Yana Najib

Kemenangan pertama ‘Bossku’ – Yana Najib

“KEMENANGAN pertama bagi Bossku sepanjang tempoh masa lima tahun. Dah lama tak melihat ayah lega dan gembira,” kata Nooryana Najwa.

Anak kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu turut bersyukur apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan bapanya daripada tuduhan meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hari ini.

“Semoga Bossku mendapat keadilan sepenuhnya untuk semakan penghakiman kes SRC pada hujung bulan ini,” katanya lagi dalam satu hantaran di Insta Story.

Belia turut hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mengikuti prosiding mahkamah.

Terdahulu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dilapor melepas dan membebaskan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy daripada tuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Najib, 70, didakwa pada 12 Disember 2018, menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Pengauditan Akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindunginya daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Najib juga kini sedang menunggu keputusan permohonannya menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli akan membuat keputusan mengenainya selewat-lewatnya sebelum 31 Mac ini.

Pada 22 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan membabitkan dana SRC.

Beliau kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang dan turut dikenakan denda berjumlah RM210 juta. – Malaysiapost

Komen