Kerajaan Pahang sumbang RM80,000 untuk mangsa banjir Johor

Kerajaan Pahang sumbang RM80,000 untuk mangsa banjir Johor

Ben Ibrahim

KERAJAAN Pahang menyumbang bantuan pelbagai barangan kepada penduduk terjejas banjir di Johor.

Bantuan berjumlah RM80,000 itu disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang dan mula dihantar hari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan itu adalah sebagai tanda prihatin kerajaan negeri terhadap kesukaran dihadapi penduduk terjejas banjir di negeri berkenaan.

“Kita harap sumbangan ini dapat meringankan beban ditanggung mereka (penduduk terjejas banjir) dan saya dimaklumkan lebih 30,000 penduduk di Johor yang terkesan akibat banjir kali ini.

“Sebelum ini pun sudah menjadi amalan kita menghulurkan bantuan kepada negeri Terengganu dan Selangor setiap kali terbabit dalam banjir.

“Jadi hari ini kita hulurkan bantuan dalam bentuk barangan bernilai RM80,000 kepada mereka,” katanya kepada media selepas melancarkan Misi Bantuan Pahang Prihatin di Depoh JKM Pahang, dekat Kuantan, hari ini.

Antara barangan dihantar ke Johor adalah toto, tikar, peralatan mandian, lampin kanak-kanak dan air mineral.

Sementara itu ketika diminta mengulas situasi banjir di Pahang, Wan Rosdy memaklumkan semua persiapan dan bantuan awal sudah diberikan kepada kawasan terjejas.

“Setakat ini, tiada aduan berkaitan berlaku masalah terputus bekalan atau kelewatan kerana semuanya diuruskan dengan baik,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JKM yang bekerjasama memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Pahang. – Malaysiapost

Komen