Kes 1MDB: Bebas atau bela diri, nasib Najib, Arul Kanda ditentukan hari ini

Kes 1MDB: Bebas atau bela diri, nasib Najib, Arul Kanda ditentukan hari ini

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Najib yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) dari Penjara Kajang tiba pada 8.42 pagi, manakala Arul Kanda pada 9.13 pagi untuk mendengar keputusan bagi pertuduhan meminda laporan audit 1MDB di peringkat pendakwaan.

Najib yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) dari Penjara Kajang tiba pada 8.42 pagi

Nasib mereka sama ada dibebaskan atau diperintah untuk membela diri akan diketahui selepas Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, membaca keputusan penghakimannya, sekitar jam 9.30 pagi.

Sekiranya mahkamah memutuskan pasukan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, bekas Ahli Parlimen Pekan dan bekas CEO 1MDB itu diperintahkan untuk membela diri atas pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.

Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan anaknya Nooryana Najwa, turut dilihat tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mengikuti prosiding berkenaan.

Najib, 70, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 46, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang bagi kes menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – Malaysiapost

Komen