Mahkamah benarkan Guan Eng ke Singapura

Mahkamah benarkan Guan Eng ke Singapura

MAHKAMAH Sesyen hari ini membenarkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mendapatkan sementara pasportnya untuk ke Singapura bagi menghadiri upacara pengebumian bapa saudara.

Hakim Azura Alwi berkata, pasport itu akan dikembalikan kepada Guan Eng hari ini dan perlu dipulangkan semula kepada mahkamah sebelum atau pada 10 Mac ini.

Terdahulu, peguam bela Guan Eng, Syafiqah Sofian, berkata anak guam memerlukan pasport untuk ke negara itu selama dua hari bermula esok.

“Pada jam 6 petang, 1 Mac lalu, anak guam dimaklumkan bahawa bapa saudara, Lim Kit Hee, meninggal dunia. Oleh itu, Guan Eng mahu menghadiri upacara pengebumian mendiang di Orchid Hall, Singapura, esok.

“Anak guam tiada risiko melarikan diri kerana dikenali ramai sebagai Pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Bagan, selain dikenakan jaminan tinggi iaitu RM1 juta dan tidak pernah gagal menghadiri prosiding mahkamah kecuali sakit atau perlu ke Parlimen,” katanya memetik Berita Harian.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, tidak membantah permohonan pasport itu.

“Bagaimanapun, pasport berkenaan perlu dikembalikan semula sebelum tarikh pendengaran kes Guan Eng seterusnya iaitu 17 Mac ini,” katanya.

Guan Eng, 63, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta bagi membantu syarikat milik Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ia bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, di Tingkat 28, Komtar, Georgetown antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat sebagai penghargaan mendapatkan projek itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City pada Mac 2011.

Guan Eng turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut. – Malaysiapost

Komen