Mangsa banjir di Johor terus meningkat
MANGSA banjir dilaporkan meningkat kepada 35,594 orang daripada 10,456 keluarga setakat jam 12 tengah hari tadi berbanding seramai 34,912 penduduk daripada 9,836 keluarga pada jam 6 pagi tadi.
Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), mangsa banjir dilaporkan meningkat di Johor, Melaka dan Sarawak, manakala Negeri Sembilan dan Pahang dilaporkan menurun.
Menurut laporan itu, Johor kini mencatatkan seramai 32,719 mangsa daripada 9,610 keluarga yang ditempatkan di 219 pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah yang terjejas.
Daerah Segamat merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 12,221 mangsa, diikuti Kluang (5,178 mangsa), Batu Pahat (4,340 mangsa), Kota Tinggi (3,369 mangsa), Muar (2,829 mangsa), Tangkak (1,999 mangsa), Johor Bahru (1,218 mangsa), Kulai (471 mangsa), Mersing (722) dan Pontian (372 mangsa).
Pahang mencatatkan jumlah mangsa kedua tertinggi dengan 1,660 penduduk daripada 498 keluarga dipindahkan ke 23 PPS di lima daerah yang terjejas iaitu Rompin (1,362 mangsa), Maran (141 mangsa), Pekan (106 mangsa), Bera (29 mangsa) dan Temerloh (22 mangsa), manakala PPS di Raub dan Jerantut sudah ditutup.
Negeri Sembilan pula merekodkan seramai 1,015 mangsa daripada 291 keluarga dipindahkan ke 12 PPS di dua daerah yang terjejas iaitu Tampin (873 mangsa) dan Jempol (142 mangsa).
Sementara itu, Melaka mencatatkan seramai 162 mangsa daripada 40 keluarga yang ditempatkan di empat PPS di dua daerah yang terjejas iaitu Jasin (150 mangsa) dan Alor Gajah (12 mangsa).
Manakala Sarawak merekodkan seramai 38 mangsa daripada 17 keluarga yang dipindahkan ke dua PPS masing-masing satu di Sri Aman (24 mangsa) dan satu lagi di Sarikei (14 mangsa). – Malaysiapost