MB Johor sebak ketika beri bantuan kepada mangsa banjir
MUSIBAH banjir buruk yang melanda Johor buat kali kedua dalam tempoh kurang sebulan, ternyata meninggalkan kesan yang besar buat penduduk di kawasan terjejas.
Menter Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata beliau memahami penderitaan yang terpaksa ditanggung mangsa serta meminta penduduk yang terkesan supaya tabah dan sabar menghadapi ujian berkenaan.
Menurut Onn Hafiz, beliau sebak apabila seorang pakcik yang merupakan sebahagian daripada mangsa banjir menangis sewaktu beliau menyampaikan bantuan kepadanya, hari ini.

“Kawasan saya sendiri iaitu Machap, Simpang Renggam juga diuji dengan bencana banjir.
“Sebak saya apabila seorang pakcik yang merupakan sebahagian daripada mangsa banjir menangis sewaktu saya menyampaikan sedikit bantuan kepadanya.
“Saya minta semua yang terkesan agar terus cekal, sabar dan tabah menghadapi ujian yang cukup besar ini,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Onn Hafiz meminta pihak yang ingin menyalurkan bantuan supaya melalui unit penyelarasan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bagi memastikan pengagihan dilakukan dengan sempurna.
“Bantuan seperti bekalan makanan, serta barang keperluan yang lain termasuk khemah, peralatan kebersihan diri, tikar, bantal dan selimut berjalan seperti yang dirancang.
“Kerajaan Negeri, dengan kerjasama agensi persekutuan terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sentiasa berusaha sedaya upaya menjaga kebajikan rakyat dalam tempoh yang amat mencabar ini.
“Kerajaan Negeri menzahirkan penghargaan kepada syarikat korporat yang sudi menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz meminta semua yang berada di kawasan berisiko tinggi sentiasa waspada dan peka kepada maklumat dan arahan yang disalurkan melalui pihak berkuasa dan media massa.
“Seperti yang kita sedia maklum, Jabatan Metereologi telah mengeluarkan amaran cuaca buruk dan hujan lebat di enam daerah iaitu Johor Bahru, Segamat, Kota Tinggi, Kluang, Mersing, dan Kulai sehingga esok,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, banjir di Johor semakin membimbangkan apabila seramai 33,149 mangsa ditempatkan di 217 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka di negeri itu, hari ini.
Jumlah mangsa banjir terus menunjukkan peningkatan berbanding seramai 28,486 mangsa di 198 PPS setakat jam 8 malam, semalam. – Malaysiapost