Najib, Arul Kanda dilepas dan dibebaskan

Najib, Arul Kanda dilepas dan dibebaskan

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy daripada tuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Memetik laporan Berita Harian, Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan selepas mendapati pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie.

Sementara itu mahkamah turut membebaskan Arul Kanda daripada tuduhan bersubahat dengan Najib melakukan pindaan berkenaan selepas memberikannya sijil indemniti (pengecualian liabiliti undang-undang) kerana keterangan yang diberikan beliau berikan selaku saksi pendakwaan pada Ogos tahun lalu adalah benar dan menyeluruh.

Najib, 70, didakwa pada 12 Disember 2018, menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Pengauditan Akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindunginya daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

Komen