PN Pulau Pinang bantah usul kosongkan empat kerusi DUN pembangkang

PN Pulau Pinang bantah usul kosongkan empat kerusi DUN pembangkang

PERIKATAN Nasional (PN) Pulau Pinang membantah usaha kerajaan negeri menghantar notis usul pengosongan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili gabungan itu pada Sidang DUN akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan PN Pulau Pinang, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata ia membabitkan kerusi DUN Bertam, Teluk Bahang, Sungai Acheh dan Seberang Jaya.

Katanya, usul itu adalah bersangkutan dengan Undang-Undang Akta Lompat Parti Pulau Pinang dan dijangka akan dibahaskan pada 6 Mac 2023 ketika persidangan DUN akan datang.

“Kami juga maklum bahawa Kerajaan Negeri telah menghantar notis usul pengosongan kerusi bagi empat DUN yang diwakili PN.

“Tindakan untuk mengosongkan kerusi ini adalah usaha Pakatan Harapan (PH) untuk menyekat arus perubahan yang dibawa PN di Pulau Pinang.

“DAP dan Umno ternyata takut kepada peningkatan sokongan rakyat kepada PN. Langkah zalim ini juga bertujuan untuk melenyapkan suara pembangkang di Pulau Pinang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata, usul berkenaan juga adalah untuk mewujudkan sebuah kerajaan DAP-Umno yang diktator tanpa semak imbang di Pulau Pinang.

Dalam perkembangan sama, Dominic berkata, PN Pula Pinang telah memaklumkan kepada Yang Dipertua DUN Pula Pinang untuk menamakan Adun Bertam, Khaliq Mehtab Mod Ishaq, sebagai Ketua Pembangkang yang baharu.

“Cadangan ini telah dipersetujui oleh sema Adun PN. Kami yakin dengan lantikan ini, PN akan berperanan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat Pulau Pinang.

“Adun Bertam juga telah menghantar usul kepada DUN Pulau Pinang pada 20 Februari lalu bagi meminda Perkara 14A Fasal 1 Perlembagaan Pulau Pinang berkenaan dengan undang-undang aka lompat parti agar selari dan selaras dengan Akta Lompat Parti (Akta A1663) yang baru diluluskan di Parlimen pada tahun lalu.

“Percanggahan besar di dalam undang-undang ini adalah berkenaan pemecatan ahli dewan yang mana seorang Ahli Parlimen tidak akan hilang kerusinya jika wakil rakyat itu dipecat daripada partinya atau sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berpandangan Pulau Pinang tidak boleh dilihat bercanggah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

“Namun usul pembangkang ini telah ditolak oleh Speaker dari dibahaskan di dalam persidangan akan datang ini,” katanya.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan empat Adun bagi mendapatkan injunksi untuk menghalang DUN Pulau Pinang daripada membentangkan usul mengosongkan kerusi terbabit sehingga rayuan berhubung perkara itu didengar.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad memutuskan bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam urusan dalaman Parlimen atau mana-mana DUN.

Beliau berkata, mahkamah perlu sentiasa mengiktiraf doktrin pengasingan kuasa.

Kesemua terbabit yang juga plaintif ialah Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang). – Malaysiapost

Komen