Razali dilantik Ketua Penerangan Bersatu yang baharu.
KETUA Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris dilantik sebagai Ketua Penerangan Bersatu Malaysia yang baharu bagi menggantikan Datuk Wan Saiful Wan Jan yang meletakkan jawatan pada 21 Februari lalu.
Berita mengenai pelantikan itu dikongsikan Wan Saiful dalam satu hantaran di laman Facebooknya malam tadi.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu yakin Razali mampu meneruskan dan menambah baik gerak kerja penerangan Bersatu seluruh negara.
“Alhamdulillah malam ini secara rasmi YB Senator Datuk Razali Idris dilantik sebagai Ketua Penerangan Bersatu Malaysia.
“Saya yakin Datuk Razali akan dapat meneruskan malahan menambah baik gerak kerja Penerangan seluruh negara,” katanya yang turut mengucapkan tahniah.
Terdahulu pada 21 Februari lalu, Wan Saiful sehari selepas didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah mengumumkan melepaskan jawatannya sebagai Ketua Penerangan Bersatu.
Menurutnya, tindakan itu dibuat bagi memberi tumpuan untuk membersihkan namanya terlebih dahulu yang menjadi prinsip selama ini. – Malaysiapost