Sikap diktator makin ‘mencengkam’ gabungan Umno-DAP Pulau Pinang
PERIKATAN Nasional (PN) bimbang dengan tindakan Kerajaan Pulau Pinang yang didakwa mahu menghapuskan semak dan imbang dengan cara memaksa empat Adun pembangkang mengosongkan kerusi mereka.
Bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata usaha itu menggambarkan sikap diktator yang semakin ‘mencengkam’ dalam gabungan Umno-DAP.
“Usul (mengosongkan kerusi) itu akan mereka bawa dalam Sidang DUN pada minggu ini,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, beliau bertemu dengan Adun PN Pulau Pinang dalam pertemuan santai bersama Pengerusi negeri, Datuk Dr Dominic Lau.
Dalam itu, Wan Saiful menyifatkan tindakan berkenaan juga memperlihatkan bahawa sudah tiada lagi keinginan mencipta pentadbiran yang seimbang dan berteraskan semangat demokrasi yang sebenar oleh Kerajaan Pulau Pinang.
“Hanya mahu memastikan mereka kekal berkuasa tanpa sebarang semak imbang supaya mereka boleh lakukan apa sahaja.
“Inilah dia Dictatorship Action Party!InsyaAllah, gelombang PN akan bersama kami dalam usaha menawan Pulau Pinang,” katanya.
Terdahulu, PN Pulau Pinang membantah usaha kerajaan negeri menghantar notis usul pengosongan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili gabungan itu pada Sidang DUN akan datang.
Kelmarin, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan empat Adun bagi mendapatkan injunksi untuk menghalang DUN Pulau Pinang daripada membentangkan usul mengosongkan kerusi terbabit sehingga rayuan berhubung perkara itu didengar. – Malaysiapost