SPRM tidak perlu berunding untuk siasat hakim – Abdul Hamid
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu berunding dengan Ketua Hakim Negara untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana hakim, kata Tun Abdul Hamid Mohamad.
Bekas Ketua Hakim Negara itu, berkata andaian mengatakan badan penyiasat jenayah dikehendaki terlebih dahulu, berunding dengan Ketua Hakim Negara sebelum memulakan penyiasatan terhadap hakim adalah sama sekali tidak berasas.
“Atas alasan sama, mengapa SPRM tidak perlu mendapat kebenaran Perdana Menteri sebelum menyiasat Menteri-Menteri, dan kebenaran Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum menyiasat Ahli-Ahli Parlimen.
“Kebenaran daripada Yang Dipertua Dewan Negara sebelum menyiasat Ahli-Ahli Dewan Negara, Pendakwa Raya sebelum menyiasat Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, jangan lupa Raja-Raja, dan seterusnya,” katanya.
Beliau mengulas mengenai alasan penghakiman panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan yang memutuskan siasatan SPRM terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak mengikut protokol termasuk tidak berunding dengan Ketua Hakim Negara.
Menurutnya, alasan itu seperti meletakkan Ketua Hakim Negara dan Hakim-Hakim adalah di tingkat yang lebih istimewa daripada semua orang, termasuk Raja-Raja.
“Dengan membuat andaian itu, mahkamah itu telah membuat undang-undang sendiri yang dipakai hanya kepada Hakim-Hakim.
“Tidak cukup dengan itu, kerana tidak berunding dengan Ketua Hakim Negara, SPRM dituduh pula berniat jahat.
“Tambahan lagi, jika aduan itu terhadap Ketua Hakim Negara sendiri pun, beliau mesti dirunding terlebih dahulu. Tidakkah itu suatu percanggahan kepentingan? katanya.
Panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan pada 24 Februari lalu, memutuskan siasatan SPRM terhadap Hakim Mohd Nazlan dilakukan tanpa mengambil kira aspek berkaitan kebebasan kehakiman, dan tidak mengikut protokol.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel itu berkata, cara penyiasatan dijalankan ke atas Mohd Nazlan dengan menghebahkannya melalui kenyataan akhbar, kelihatan tidak menjaga keyakinan terhadap kebebasan badan kehakiman.
Beliau berkata, siasatan terhadap Nazlan yang dilakukan tanpa rundingan dengan badan kehakiman juga menimbulkan keraguan sama ada siasatan terhadapnya dilakukan secara bona fide (dengan niat baik).
Mohd Nazlan adalah hakim yang mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan denda RM210 juta atas tujuh pertuduhan berkaitan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada 28 Julai 2020. – Malaysiapost