Tak perlu isytihar darurat bencana di Johor
TIADA keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana di Johor susulan banjir terburuk yang melanda negeri itu, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah berhubung tindakan segera yang perlu diambil bagi membantu Johor.
“Tidak, kita tidak bincang perkara ini (darurat), pada waktu ini pandangan Jemaah Menteri lebih ke arah apa yang kita boleh lakukan segera sekarang.
“Yang diteliti adalah aset-aset kerajaan.. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah melihat beberapa lokasi semalam dan beberapa isu dibangkitkan segera juga sudah diselesaikan.
“Antara lain yang kita (Jemaah Menteri) bincangkan adalah keperluan bagi memasang jambatan Bailey untuk pastikan jaringan jalan-jalan dapat dihubungkan semula,” katanya pada sidang media hari ini.
Fahmi berkata, dalam mesyuarat Jemaah Menteri itu turut ditegaskan beberapa perkara termasuk bantuan yang perlu disegerakan.
“Menteri juga diminta teliti kementerian masing-masing, bagi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sendiri , antara perkara yang menjadi fokus ialah isu rangkaian telekomunikasi.
“Saya sudah memberi penegasan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk melihat menara telekomunikasi yang terjejas yang mana setakat semalam jumlahnya mencecah 90 menara yang perlu pembaikan segera,” katanya.
Hari ini, kerajaan meluluskan peruntukan segera RM50 juta untuk Johor susulan bencana banjir yang disifatkan terburuk pernah melanda negeri itu.
Kelulusan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi tujuan melaksanakan kerja baik pulih infrastruktur yang rosak disebabkan banjir. – Malaysiapost