‘Terima kasih atas cacat kekal di muka aku’ – isteri Hafidz Roshdi

‘Terima kasih atas cacat kekal di muka aku’ – isteri Hafidz Roshdi

ISTERI Hafidz Roshdi, 29, yang cedera di bahagian muka selepas ditumbuk pelakon itu tampil meluahkan perasaan menerudi hantaran terbaharu di Instagramnya.

Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, menerusi hantaran di Insta Story mendoakan agar suaminya diberi balasan setimpal atas perbuatan menumbuknya di bahagian muka sehingga mengalami kecederaan.

Lebih mengejutkan Shuhada turut berkata mengalami kecacatan kekal susulan kecederaan tersebut.

“Terima kasih atas cacat kekal di muka aku. Semoga Allah balaslah seberat-berat kifarah buat anda.

“Ustaz Azhar Idrus mengesahkan mendoakan keburukan untuk manusia zalim tidak salah. Apa yang sudah terjadi, Allah hendak tunjukkan depan mata yang penyesalan daripada seorang manusia, jangan kau ukur dengan janji di mulut.

“Menganggap diri sebagai mangsa keadaan dan rasa apa yang dia buat selama ini tidak pernah salah. Tetapi ingatlah! Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu perkara walaupun hanya dedaun yang luruh dari pokok,” tulisnya.

Shuhada dalam hantaran sama turut mendakwa Hafidz belum mampu meneruskan hidup dan masih berminat untuk mengetahui perkembangan dirinya biarpun sudah melafazkan talak.

“Tidak akan hubungi lagi adalah mengarut. Apa yang pasti dia ‘stalk’ (ikuti perkembangan) dan baca setiap komen adalah sangat melucukan.

“Hiduplah kau dengan bayang bayang aku sampai mati. Kau takkan tenang. Kalau baru sekarang hendak ukur kasih sayang buat anak-anak untuk pertahan diri jadi manusia bagus dan boleh buat kau bahagia, teruskan.

“Allah tahu kau tak pernah beli beras… Semoga berjaya,” katanya.

Semalam, keluarga Shuhada mengesahkan wanita itu ditumbuk tiga kali oleh Hafidz selepas berlaku pertengkaran.

Ahli keluarga yang enggan namanya didedahkan mendakwa, Hafidz dilaporkan menumbuk pada bahagian muka Shuhada sehingga cedera.

Sebelum itu, hantaran Insta Story Shuhada mencetuskan tanda tanya apabila memuat naik hantaran dipercayai berkaitan kecederaan dialaminya.

Dalam entri itu, dia mendakwa sedang menerima rawatan di hospital.

Foto dimuat naik menunjukkan ibu kepada dua cahaya mata itu mengalami kecederaan pada wajah kiri yang didapati berbalut. – Malaysiapost

Komen