Tun M bakal Presiden Putra?

Tun M bakal Presiden Putra?

BEKAS Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dikatakan bakal dilantik sebagai Presiden parti itu.

Difahamkan bekas Perdana Menteri itu bakal mengambil alih kepimpinan parti dan dilantik sebagai Presiden menerusi rombakan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Menurut MalaysiaGazette, Presiden Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali, bagaimanapun tidak mengetahui perkara berkenaan.

“Saya baru dengar desas desus ini. Tidak ada dalam pengetahuan saya, tetapi sebagai parti demokratik, saya tidak ada halangan kalau ada pemilihan dan pelantikan baharu.

“Namun, ianya perlu melalui suara majoriti Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra dan jika ada pencalonan nama Dr Mahathir daripada sayap parti.

“Tarikh 7 Mei ini adalah Persidangan Agung Putra. Di situ kita akan tahu sama ada Dr Mahathir sebagai Presiden atau tidak,” katanya.

Beliau mengulas laporan sebuah media bahawa Dr Mahathir yang telah sah menyertai Putra bakal dilantik sebagai Presiden.

Laporan itu menyatakan, Ibrahim akan menyerahkan jawatannya dan kini sedang menyusun atur untuk memastikan peralihan jawatan kepemimpinan yang baharu.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, jika Dr Mahathir bersedia memikul tanggungjawabnya sebagai Presiden Putra, beliau tidak ada masalah, malah mengalu-alukan.

Bagaimanapun, katanya, mesti ada pencalonan dibuat bagi membolehkan pemimpin unggul itu memegang jawatan berkenaan dalam Putra.

“Memandangkan Tun M ahli Putra, dia dan sesiapa sahaja ahli yang sah boleh dicalonkan sebagai Presiden. Ini terserah kepada perwakilan di peringkat bahagian untuk mencalonkannya.

“Dan, terpulang juga kepada Dr Mahathir untuk terima atau tidak,” katanya. – Malaysiapost

Komen